The Astaka @ 1 Bukit Senyum laris

The Astaka @ 1 Bukit Senyum dengan nilai pembangunan kasar RM1.4 bilion dan bakal menjadi menara kediaman tertinggi di Asia Tenggara, mendapat permintaan menggalakkan apabila 70 peratus unit sudah dijual setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Astaka Holdings Limited, Datuk Zamani Kassim, berkata projek yang dijangkakan siap pada suku pertama tahun depan menawarkan 438 unit kediaman yang dijual dari harga RM2 juta seunit.

Katanya, The Astaka @ 1 Bukit Senyum, merangkumi dua menara kediaman 70 tingkat dengan ketinggian 310.8 meter dari aras laut apabila siap kelak.

“Setakat ini, 70 peratus daripada unit ditawarkan sudah dijual membabitkan jualan kira-kira RM800 juta dengan kira-kira 25 peratus daripadanya dibeli orang tempatan.

“Sebahagian besar projek ini dibeli oleh rakyat Singapura selain juga mendapat permintaan pembeli dari Jepun, Taiwan, Korea, Indonesia, Brunei dan Nepal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menyempurnakan (topping off) The Astaka @ 1 Bukit Senyum oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengasas Astaka Holdings, Datuk Daing A Malek Daing A Rahaman.

Zamani berkata, projek itu juga bakal melengkapkan pembangunan perbandaran 1 Bukit Senyum yang dijangkakan siap dalam tempoh enam tahun lagi.

Katanya, syarikat menjangkakan baki kira-kira 30 peratus jualan unit The Astaka boleh dicapai selepas projek itu siap kerana mengambil kira keadaan pasaran hartanah yang masih tidak menentu.

Projek itu adalah sebahagian daripada langkah penswastaan dan pelan pembangunan semula bandaraya Johor Bahru oleh kerajaan negeri ke arah mencapai status metropolis.

Source : Berita Harian